Popular Posts

Monday 18 August 2014

Cik Skuter Asap Putih~ Bab 2










2

            "BLA bla bla...bla bla bla."
Mulutnya ikut sama berbunyi tatkala suara Aishah riuh bercerita tentang rambutnya yang hitam dan lebat. Hampir setiap kali menemani Aishah ke salun rambut, pasti cerita itu diungkit. Yun sudah hafal cerita itu.
"Ambil daun bunga raya yang bersih dan ramas sehingga keluar lendir. Ambil lendirnya dan campurkan dengan sebiji telur ayam kampung serta sesudu madu lebah. Lepas itu, gaul dan sapu pada rambut. Lepas itu, perap dengan tuala lebih kurang sepuluh minit sebelum bilas dan cuci. Aku amalkan dua kali seminggu."
            Hmm.Yun telah hafal skrip itu setahun lalu.
"Yun! Kau ajuk aku, ya?" Teka Aishah dari cermin besar di hadapannya. Yun ketawa kecil. Dia tidak menjawab tetapi deras bangun lalu menggeliat dengan kedua tangannya ditolak ke atas.
"Ni yang aku paling malas teman Aishah yang perasan lawa ni. Berdandan mengalahkan artis. Siapa selebriti ni?" Tanya Yun, meluahkan isi hati. Amoi yang sedang mendandan rambut Aishah menumpang senyum.
"Eh, takkan artis saja yang nak jaga penampilan. Aku pun!"
"Aku pun? Kalau jaga penampilan tu tak melibatkan masa orang lain, tak apa jugak! Ini tidak...sikit-sikit Yun...sikit Yun! Yun teman aku sana. Yun teman aku sini. Macamlah Yun ni kerja goyang kaki."Ajuk Yun. Dia sempat juga membebel di hujungnya. Jika bukan kerana Aishah, pasti dia sudah ada tempat yang menjadi sasaran untuk dijadikan bahan berita.
"Yunnnn, kau kan kawan aku. Kalau bukan kau, siapa lagi nak teman aku?"
"Wan ada! Puan Jannah pun boleh." Selamba dia membalas. Aishah hanya mencebik bila dia memetik dua nama itu. Yun terus mundar-mandir. Tak sanggup rasanya hendak berlama-lama di salun rambut itu. Sesungguhnya masa yang berlalu ibarat air yang menitik. Ia akan terus menitik, tiada henti selagi belum habis.
"Tu jalan utara selatan tu...tengah boringlah tu."
"He he he. Aku nak mintak dirilah, Shah. Nak cari pasal sikit."
"Alah Yun....Sikit aje lagi." Rayu Aishah. Yun melepas nafas, sepanjangnya. Dia perlu kuat hati mendepani rayuan Aishah.
"Malam ni aku kena teman kau lagi, kan? Habis tu, apa yang aku ada untuk diri aku sendiri, untuk kerja aku? Untuk rezeki aku yang halal?"
"Okay, okay, okay! Aku jumpa kau pukul enam. Kat tempat biasa, ya?" Balas Aishah pula. Yun tidak menjawab tapi dia mula menggalas beg biru tuanya. Dia berjalan pantas, dengan minda sudah merencana tempat yang ingin dituju.



            DENGAN sedikit calitan nipis di bibir, dia sudah bersedia. Dari cermin meja solek, bebola matanya sempat menjeling jarum jam yang hampir menginjak ke angka enam petang. Tak pasal-pasal dia terpaksa bersiap seperti hendak menyambut raya. Dengan baju kurung moden ala-ala fishtail stripe, dia bakal melangkah ke Majlis Koktail Anugerah Glamor Selebriti. Itu sahaja baju yang agak baru dalam koleksi pakaiannya. Selebihnya hanya jeans dan t shirt, tak lupa kemeja sesekali. Telefon bimbit di atas tilam berbunyi lantas dia segera mencapainya. Barangkali ia mesej daripada Aishah yang bersungguh-sungguh mahu ditemani.
"Mana kau ni, Yun?Menggigil dah aku tunggu dalam kereta ni."
Yun membaca mesej itu hampir berbisik. Kemudian, senyumannya berbunga halus. Menggigil tunggu di dalam kereta atau menggigil kerana tak sabar hendak berada dalam kalangan manusia glamor? Namun persoalan itu tidak diajukan kepada Aishah. Dia tidak mahu membalas kerana memang sengaja membiarkan Aishah menanti dengan penuh teruja. Yun mengunci pintu rumah lalu menyarung sandal.
           


            "DENGAN ini majlis menjemput Dif-dif kehormat, Dato' dan Datin, Tuan dan Puan, Encik dan Cik untuk menikmati hidangan yang telah disediakan bagi meraikan mereka yang bertanding dalam Anugerah Glamor Selebriti. Dipersilakan."
Suara pegacara majlis menjemput tetamu menikmati hidangan kedengaran lunak di telinganya.
"Jom!" Ajak Aishah lalu menarik sedikit tangannya, tetapi tidak lama kerana Yun buat kejung. Ratusan manusia memenuhi majlis cocktail reception itu. Mereka mula bertebaran ke segenap pelusuk dewan untuk menikmati hidangan yang disediakan secara buffet.
"Cik Aishah. Ada nota untuk Cik Aishah."
Aishah dan Yun sama-sama berpaling ketika nama Aishah disapa seorang pelayan lelaki. Aishah senyum sambil mengambil nota kecil dalam dulang itu. Sambil itu, matanya liar juga mengimbas wajah insan-insan yang mungkin dikenali di dalam majlis itu.
"Pandang ke belakang. I tunggu you di sini. Zuhayr."
Selesai membaca nota tersebut, Aishah pantas menoleh ke belakang. Matanya sempat melilau sebelum terlihat akan seorang lelaki yang sedang mengangkat tangan. Itu Zuhayr! Aishah hampir menjerit namun sedar yang dirinya berpakaian anggun. Lantas, dia mengetap bibir sebelum melangkah menuju ke arah lelaki itu.
"Eh, kau nak jumpa siapa pulak tu?"
"Mamat tu...kenal? Anak Muhammad Wilson, bekas wartawan Dunia Kita." Aishah menghentikan langkah yang baru diatur dua tapak. Herot-berot kening Yun, berikhtiar mengingati sebaris nama itu. Aishah melangkah lagi sehingga begitu dekat dengan lelaki itu.
Muhammad Wilson! Muhammad Wilson! Ya, dia mulai ingat. Dia pernah berkenalan dengan Muhammad Wilson tahun lepas, ketika Majlis Salam buat Palestin. Muhammad Wilson menyumbang sajak nukilan sendiri. Itu yang Yun kagum dengan Muhammad Wilson. Dia membesar di Malaysia sehingga begitu fasih dengan Bahasa Melayu. Isterinya orang Melayu dan mereka dikurniakan sepasang anak kembar lelaki serta seorang anak perempuan. Barangkali lelaki yang kini sedang berbual dengan Aishah merupakan anak kembar yang dimaksudkan itu. Oh, tiba-tiba Yun terkenang kisah anak-anak Muhammad Wilson! Namun, ia hilang apabila terasa satu rempuhan kecil di bahagian tangan kanan.
"Opssss...sorry!" Ucap Yun, spontan. Dia mengangkat muka dan senyum, namun lelaki itu tidak memandangnya, malah sibuk pula mengesat tuxedonya yang basah dek terkena tumpahan air. Beberapa orang tetamu berhampiran mengalih pandangan terhadap lelaki itu. Yun jadi serba salah. Dia ingin segera beredar lalu menutup muka dengan tangan kanannya. Baru berjingkit setengah tapak, suara lelaki itu kedengaran menegurnya.
"Eh, cepatnya lari!"
"Err..."
"Saya...nak ke sana. Nak ganti air encik." Akal Yun pantas mencari jalan keluar.
"Ganti air saja? Baju saya ni?" Yun menjatuhkan tangan yang melindungi mukanya. Wajah lelaki bertuxedo hitam itu ditenungnya, namun tompokan hitam disebalik tuxedo itu bagai memaku pandangannya.
            Wah, ini sudah lebih! Entah-entah salah sendiri, aku pulak yang dipersalahkan!
"Ganti air sudahlah! Takkan nak ganti baju pulak." Suara Yun tak kurang kuat juga, bagai memanggil tetamu lain menjenguk perselisihan yang baru tercetus antara mereka.
"Oh, awak ni memang jenis tak bertanggungjawab, kan? Awak hanya pandai membuat huru-hara tapi tak pandai membaiki keadaan." Bidas Zill Qayyim, marah juga akan wanita yang melanggarnya sebentar tadi. Sudahlah wanita berkain belang bak kuda belang itu telah melanggarnya. Bila meminta ganti rugi, dia menjawab pula.
"Saya buat huru-hara? Encik pulak apa kurangnya? Yang encik bawak air ke hulu ke hilir tu kenapa?"
"Oh, kuda belang masuk bandar rupanya! Buat-buat alim pulak...tak tahu majlis apa yang dia tengah attend. Tengok baju dia sudahlah...tak ubah macam kuda belang!"
"Kuda belang? Encik tu burung gagak..serba hitam macam mati hidup semula."
Balas Yun, meledak amarah yang merobek perasaan bila digelar kuda belang oleh lelaki itu. Ada suara-suara sumbang yang mentertawakannya. Semuanya gara-gara gelaran kuda belang.
"Emm...buat bazir masa aje cakap dengan kuda belang. I surrender!" Keluh Zill Qayyim lalu mengangkat tanda menyerah kalah. Tak pasal-pasal, dia menjadi tumpuan sebahagian tetamu pula di majlis itu. Dia berlalu menuju ke tandas dengan perasaan sebal.



            "ITU pun jadi isu pada kau. Hulur saja duit dobi pada dia. Apa susah?" Kata Aishah sewaktu memandu pulang. Yun tidak mengalih bebola mata yang dihantar ke luar.
"Masalah di sini, salah aku ke? Kami jalan bertentangan, kan? Kalau pun aku tak nampak dia, takkan dia tak boleh mengelak bila nampak aku atau saja-saja buat dirinya dilanggar."
Balas Yun, sambil mengetap gigi. Memori itu masih berputaran jelas di mindanya. Dan semakin diingat, semakin sakit rasa hatinya.
"Ada pulak saja-saja buat dilanggar? Takkan nak memalukan diri sendiri di majlis orang kut."
"Alah, kalau dah gatal! Macam-macam, kan?" Yun menjawab lagi. Aishah mengeluh perlahan. Qattrun Nada, atau lebih dikenali sebagai Yun. Begitulah sikapnya sejak dikenali dua tahun lepas.
"Yun, kita ni perempuan. Janganlah kasar sangat dengan orang. Kalau orang tak berdendam tak apa, takut ada yang simpan dendam. Aku sayang kau, Yun!" Aishah menegur sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan. Apartment Yun tidak jau dari situ. Yun tidak menjawab tetapi nasihat Aishah berbekas juga di hatinya.
"Thanks, Shah!" Balas Yun, perlahan sebelum menolak pintu kereta. Dia keluar dari perut kereta, membawa hati yang sangat kecil.


            MEREKA  menyamar sebagai pekerja hotel yang bertugas mengemas bilik. Salah seorang dari mereka memeriksa lorong VVIP di tingkat tiga puluh. Apabila lorong itu didapati bersih dari tumpuan, lelaki itu cepat mengangkat ibu jari, memberi isyarat kepada rakannya bahawa semua dalam keadaan baik. Operasi dimulakan! Seorang rakan mereka yang lain menggunakan kad pendua untuk masuk ke dalam bilik Bilionair Korea. Berjaya! Bilik itu terbuka dengan mudah. Dua lelaki masuk ke dalam suite VVIP Korea sambil menolak troli perkakasan mengemas bilik sebelum menutup pintu bilik. Mata mereka liar, mencari peti simpanan besi yang entah di mana letaknya.
"Kau sana!" Arah rakan yang membuka pintu tadi dengan kasar. Tangannya pantas menunjuk bahagian kamar peraduan sedang dia rakus mencari di bahagian luar. Rakannya akur lalu bingkas berjalan menuju ke kamar peraduan yang belum berkemas. Setiap kabiet dibuka dan berjaya! Dia berjaya menemui peti simpanan besi itu lalu memanggil rakannya di luar.
"Gangsa, aku dah jumpa! Cepat masuk dalam!" Perak hampir menjerit namun dia cuba mengawal emosi. Dia teruja melihat gangsa datang terkocoh-kocoh dengan mesin pemintas kod sebesar tapak tangan. Mereka menggunakan alat khas rekaan sendiri untuk mendapatkan kombinasi nombor peti simpanan.
"Cepat, cepat! Kita tak ada banyak masa. Aku bimbang bodyguard dia balik."
Bisik suara Suasa yang menunggu di luar. Biarpun dua rakannya masih baru masuk ke dalam bilik, kebimbangan berada di tahap tertinggi. Dia tidak mahu mereka bertiga tertangkap di atas sebarang kecuaian.
"Sabar dan rileks. Kami tengah buat kerja! Kau duduk dan buat kerja kau. Kalau perlu lengahkan, usahakan supaya bodyguardnya tak sampai ke sini!" Suara gangsa kedengaran memberi arahan.
"Aku nak usahakan apa?" Suasa bertanya, tidak pasti. Dia masih memeriksa lorong namun melopong melihat bodyguard Lee Ji Hyun sudah menghampiri bilik bosnya.
"Buat ajelah apa-apa, bodoh! Menyamar atau apa saja!" Terdengar suara Gangsa lagi di telinganya namun ia bagai tidak memberi kesan buatnya. Fikirkan sesuatu! Cepat! Cepat!
"Yesssss! Berjaya!" Teriakan bergema di dalam. Pengawal peribadi Lee Ji Hyun terkejut mendengar teriakan itu lalu berusaha menolak pintu.
"Siapa di dalam? Keluar cepat! Sebelum aku pecah masuk!" Teriak pengawal berbadan sasa lalu menolak pintu dengan badannya secara rakus. Berkali-kali hingga keasyikannya menendang pintu itu membuatka Suasa berfikir satu cara untuk menyelamatkan diri dan rakan-rakan yang ada di dalam.
 "Security, datang beri bantuan! Bilik VVIP Lee Ji Hyun dipecah-"
Pangggg! Kepala pengawal peribadi itu dihantuk ke dinding secara curi.
"Gangsa, Perak! Cepat keluar sebelum tertangkap! Dia melaung deras, sederas debaran di dada.


            "YUN, agak-agaklah kan, kau free tak hujung bulan ni?"
Sapa seorang teman lama, sebaik Yun menjawab panggilan itu. Yun senyum sambil menyelak jadualnya. Alhamdulillah, tiada temujanji! Tetapi situasi kerja yang tidak menentu membuatkan dia tidak berani menabur janji.
"Kau nak ikut aku tengok showcase Putera Seruling tak? Live kat IB!" Tanya Faiq, membuatkan dirinya hampir melompat kegirangan. Putera Seruling yang sangat dikagumi. Alunan serulingnya memukau jiwa. Memang dia telah lama menantikan kemunculan Putera Seruling secara langsung.
"Nakkkkkkk!!!" Jerit Yun, tidak dapat mengawal rasa. Faiq ketawa mengekek. Umpannya mengena. Yun mudah ditundukkan apabila nama Raja Seruling digunakan. Selalunya Yun mengelak apabila dia menyatakan hajat ingin bertemu. Kata Yun, tak ada masa tapi apabila ajak tengok persembahan Putera Seruling, banyak pulak masa Yun ada.
"Betul ni? Confirm?"
"Aku nak pergilah Faiq...Harap-harap dapat pergi. Janganlah tanya banyak kali."
Balas Yun, sambil menutup mata. Alunan seruling bagai terngiang-ngiang di telinganya.
"Aku belanja kau tiket, ya?"
"Ehemmm." Dehem seseorang. Yun cepat-cepat membuka mata. Puan Jannah sudah berdiri di tepi.
"Faiq...aku off dulu ya, busy!" Beritahu Yun. Dia tidak menunggu jawapan Faiq sebaliknya terus menekan punat 'end'. Puan Jannah di sisi tersenyum.
"Ya, Puan Jannah!"
"Yun, outing ke Genting Highland, ya? Ada kes rompakan dua juta ringgit. Van perompak jatuh dalam gaung, di KM 3.4 Jalan Genting Highland."
"Cameraman?"
"Pergi dengan Wan lah. Syauki ambil emergency leave hari ni."
"Wan?" Tanya Yun sambil menjeling rakan sejawatannya. Wan mengangkat dua jari tanda 'peace'. Yun menjuih bibir, kemudian menarik beg galasnya.
"Saya nak report sebelum pukul lima petang ni, Yun!" Puan Jannah sempat menambah sebelum Yun beredar.
"Puan Jannah memanglah. Report nak cepat saja, tapi jangan risau. Saya emel secepatnya pada puan. Jangan lupa semak emel puan sepanjang masa."
Balas Yun, bagai memberi peringatan pada Puan Jannah sebelum melangkah. Dia berhenti di tepi meja Wan, menanti teman sejawatannya usai berkemas. Cerewetnya lebih dari orang perempuan. Bagaimana agaknya calon isteri Wan kelak?
"Cepatlah. Hari-hari buang habuk!"
"Kejaplah!"
"Wan, cubalah sesekali kau pulak tunggu aku. Jangan bawak sangat cerewet kau tu!"
Pesan Yun sebelum bergegas meninggalkan Wan. Sakit juga hatinya, setiap kali bertugas bersama, dia terpaksa membuang masa, menunggu Wan dengan aktiviti remehnya.


Cik Skuter Asap Putih~Bab 1






1



            SESI tarik menarik beg sandangnya berlangsung beberapa saat hingga Yun naik minyak. Dia mengangkat kaki kanan sebelum menendang bahagian perut penyamun itu. Tidak begitu berjaya.
"Wah, main kasar nampak!" Suara penyamun itu kedengaran di sebalik topeng muka.
"Kau dah menyamun aku, kau kata aku kasar? Dasar penyamun bodoh alang!"
Yun menyumpah kerana sakit hati. Bengang betul apabila penyamun itu nampak nekad berebutkan beg sandang yang dipenuhi harta pusaka itu. Bukan duit bergunung tetapi komputer riba, telefon bimbit serta kamera Canon kesayangan. Dia mengangkat lagi kaki yang sama, dengan tujuan yang sama tetapi penyamun bertopeng biru bertindak pantas memaut kaki kanannya. Yun hampir jatuh namun sempat memaut lengan baju penyamun itu, tetapi tidak lama. Mereka sama-sama jatuh sebelum terdengar suara seseorang.
"Hoi!"
Penyamun itu pantas menoleh sebelum cuba untk berdiri. Nak larilah tu! Tak boleh, tak boleh, tak boleh! Yun sempat melibas kaki penyamun itu hingga dia terjatuh kembali.
"Aduh!"
Dua orang lelaki yang kebetulan lalu di lorong gelap disimbahi cahaya jingga cepat datang membantu. Penyamun itu tidak sempat bangun buat kali kedua. Kedua-dua belah tangannya sudah dilipat ke belakang. Yun bangun sebelum mengibas belakang seluarnya. Kemudian, telefon bimbit yang berada di dalam beg sandang segera dicapai.
"Hello, polis!"

            "WAN, sambut!" Yun melaung dari jauh. Wan yang baru mengangkat muka terkocoh-kocoh menyambut sampul coklat hasil lontaran Yun. Mujur juga dia dapat sambut. Yun ketawa geli hati. Masih segar di ingatannya air muka Wan yang cemas menyambut sampul coklat tadi.
"Oi! Ni gambar jarak dekat ni. Kau ada kat situ, ya?"
"Aku selfie dengan penyamun. Ni semua salah kau. Last minute punya kerja! Tak pasal-pasal menghadap penyamun aku malam tadi." Cerita Yun dari jauh. Suaranya kuat seperti selalu, sambil menghidupkan komputer riba. Sementara menunggu proses muat naik grafik dan data, Yun memaku pandangan pada senarai semak tugasnya sepanjang minggu. Dia sudah menghantar laporan tentang operasi rumah urut di Puchong semalam, lalu tugasan itu dipotong dari senarainya.
"Betul ke, Yun? Kau kena samun semalam, ya?" Tanya Wan, sudah bertenggek di hujung mejanya. Setiap kali berbual, itulah pelabuhan Wan semenjak dua tahun yang lepas. Yun jadi lali walau pernah marahkan teman seperjuanganna itu.
"Gambar tu belum cukup jadi bukti lagi ke?" Tanya Yun, tidak mengangkat muka. Hanya kedengaran jemarinya sahaja pantas mengetuk papan kekunci.
"Sorrylah, Yun! Disebabkan aku, kau berdepan detik cemas pulak."
"Alah, sorry bagai! Macamlah insaf pun. Aku dah selalu, diulangi, SELALU diperdayakan kau. Janji sana sini, akhirnya janji tinggal janji. Lepas ni aku akan buat kau pulak tunggu aku."
Tukas Yun, meluahkan perasaannya.
"Alah, Yun! Dengan aku pun ambil hati jugak."
"Sebagai kawan, ada kau peduli aku? Eh, entah aku ni kawan kau ke tidak? Masa nak pakai, carilah, sengihlah panjang sampai ke telinga. Masa dah senang lenang, tanya khabar aku pun tak sudi. Dunia akhir zaman."
Yun pantas menjawab. Dia malas hendak memandang muka Wan. Nanti dia tidak jadi membebel dan lebih parah kalau dia jatuh kasihan. Senanglah hidup Wan. Lain kali Wan boleh menindas lagi. Yun menulis hingga ke hujung ayat.
"Yunnnn! Kau ni, macam menyampah kat aku aje!" Wan meneka. Dari tadi Yun tidak sudi memandangnya. Hanya wajah komputer yang disinari cahaya sahaja menjadi peneman setianya sejak sepuluh minit yang lepas. Perlahan-lahan Wan bangun. Dia kembali menapak ke mejanya.
"Kasihan Wan tu, Yun! Tajam sangat bom yang kau bagi tadi."
Yun mengangkat muka lalu menghadiahkan sebuah senyuman kala suara Nur Aishah menyapa telinganya.
"Sekurang-kurangnya aku jujur dan tidak kata di belakang. Kalau tak suka kejujuran aku, sila tutup mata dan tutup telinga."
Sahut Yun sambil menyudahkan berita yang sedang ditulis. Dia tidak pernah lupa titik di hujungnya. Kata Cikgu Senah, titik tu tempat pembaca tarik nafas. Kalau karangan tak ada titik, jawabnya, pakai oksigenlah pembacanya nanti. Baca sampai muntah! Mengekek Yun dan kawan-kawannya ketawa. Sampai sekarang Yun semat pesanan Cikgu Senah dalam-dalam.
Yun membaca kembali berita yang baru ditaip tadi sebelum mencetaknya dua salinan. Satu untuk simpanan fail sendiri, dan satu lagi untuk disemak oleh Ketua Editor, Puan Jannah. Dua tahun menyandang gelaran Wartawan Jenayah, Yun sudah betah dengan asam garamnya. Tambah pula Puan Jannah yang cukup cerewet dan sukar ditambat hati. Ada sahaja kesilapan kecil yang mencuri tumpuannya.


            YUN mengunyah roti sahaja sementara menunggu Aishah. Kelibat teman seperjuangan ditilik juga sesekali dari celahan pengunjung Kompleks Pertama.
"Nah!"
"Opocot, kau meletup!" Yun melatah spontan, menyebabkan roti hampir terlucut dari genggaman.
"Bommm! Kebabom! He he he." Aishah menyahut sambil membuat aksi bom meletup dengan kedua-dua tangannya. Yun menjuihkan bibirnya.
"Ni mesti dari Sogo ni! Wangi semacam aje."
"Ha ha ha. Tajam betul hidung kau ni. Aku saja test perfume-"
"Oh, test perfume? Lepas tu, sedut bau kopi, kan?"
"Ha ha ha.Ini mesti kau biasa buat kerja ni kan, Yun?"Aishah menduga.
"Ada jugaklah. Waktu terlambat bangun. Waktu terlupa pakai perfume. Aku singgahlah mana-mana booth jual perfume."
"Ha ha ha." Aishah menghambur tawa sambil menepuk lengannya. Yun sengih cuma. Kenangan lalu terus berputaran di layar ingatan. Dia selalu juga ambil kesempatan tatkala promoter mempelawanya mencuba haruman mereka.
"Lucu lah kau ni, Yun! Nah! Ambil kad jemputan ni. Aku isytiharkan kau sebagai date partner aku malam tu."
Kata Aishah lantas menyerahkan sebuah kad undangan kepada Yun. Yun menyambutnya lambat-lambat. Dia membaca tajuk undangan itu dengan hati separuh. Tiada minat! Majlis Koktail Anugerah Glamor Selebriti.
"Kau ajaklah orang lain pulak. Aku menyampahlah majlis macam ni."
"Ah, aku tak kira! Aku nak pergi pi dengan kau jugak. Lepas tu aku nak cari dress yang sesuai petang esok. Kau temankan jugak. Lepas tu, aku-"
Ujar Aishah, teruja. Tangannya ligat mengira aktiviti yang bakal dilaksanakan sebagai persiapan ke majlis itu. Dia juga sudah mengira beberapa nama yang hendak didekati di majlis berkenaan. Yun di sebelah masih selamba mengunyah roti. Sahabatnya tiada reaksi lalu Aishah menarik muka lapan belas.
"Ni yang aku menyampah ni..." Adu Aishah.
"Menyampah apa pulak?"
"Menyampahlah...muka kosong tu. Tak sukalah tu!" Aishah menjuih bibirnya. Mengerti akan reaksi hambar yang ditunjukkan oleh teman seangkatannya. Yun ketawa kecil.
"Entah kenapa...aku tak suka. Mungkin bukan diri aku kut, nak berparti tak tentu hala."
"Eh, jomlah! Tunggu kau punya pasal, lambat kita sampai office nanti." Ajak Yun, terus mengetuai langkah mereka. Aishah mengikut di belakang. Dia masih mencari peluang untuk memujuk Yun. Majlis itu bakal berlangsung hujung minggu ini. Jika bukan Yun yang sentiasa bersedia membantu teman-temannya, siapa lagi? Takkan Wan kut!
"Yun...perlahanlah sikit!"
"Eh, apa motif perlahan? Kita di unit jenayah tak diajar perlahan. Kena pantas dan tangkas, Shah."
Usik Yun. Kakinya melangkah deras, seperti kata-katanya juga. Dia perlu segera sampai ke pejabat untuk menyiapkan laporan kerana malam nanti, dia punya janji temu dengan polis untuk menyerbu spa yang beroperasi sebagai pusat pelacuran.


            YUN hanya sempat menjamah sebuku roti perisa vanila yang berharga lapan puluh sen sahaja malam itu. Semuanya gara-gara hendak cepat. Sesekali dia mengerling jam yang terlilit di pergelangan tangan. Setengah jam berlalu dan mereka berempat masih menanti di dalam Mitsubishi Lancer berwarna hitam.
"Hitam Satu kepada Hitam Dua...Hitam satu kepada Hitam Dua. Laporkan kedudukan anda!" Suara Inspektor An-Nasa'i kedengaran di belakang. Yun memasang telinga. Dia tahu detik terjahan bakal bermula bila-bila masa lalu dia mempersiapkan diri. Walau melaluinya beberapa kali, Yun tetap berdebar.
"Hitam Dua kepada Hitam Satu. Hitam Dua berada di posisi tepat, di bahagian belakang premis."Suara seorang lelaki, dari kelompok pegawai polis juga dicuri dengar oleh Yun. Walau kod itu tidak asing di telinganya namun dia perlu memberi perhatian juga, sebagai persediaan awal.
"Laporan kami terima, roger! Arahkan semua anggota bersedia."
"Arahan diterima, roger." Inspektor An-Nasa'i tidak menanti jawapan. Dia menjatuhkan tanan ke atas riba sebelum menolak pintu.
"Bersedia semua! Kita akan bergerak dalam kiraan sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima..."
Yun pantas menolak pintu kereta. Yang lain juga begitu tetapi bunyi tembakan mengejutkan mereka.
"Hitam Satu...Hitam Satu. Serangan dilakukan oleh seseorang dari dalam premis. Kami sedang bertindak. Mohon bantuan segera dari bahagian hadapan." Suara itu kedengaran sebelum Inspektor An-Nasa'i dan seorang lagi pegawainya ikut di belakang.
"Plan B! Anggota sila bertindak segera!" Arah Inspektor An-Nasa'i sambil berlari pantas. Belum sempat tiba di bahagian pintu masuk, kelibat tiga orang lelaki berlari keluar dari premis sasaran lalu, dia membuka langkah yang lebih panjang. Jarak mereka hampir lima puluh meter, namun Inspektor An-Nasa'i tidak mudah mengalah. Dia terus berlari walau lorong itu gelap tanpa cahaya lampu. Matanya sempat menangkap batang kayu di depan mata. Dalam masa yang sama, mindanya ligat mengatur strategi. Dia menyepak sebatang kayu sepanjang satu hasta ke hadapan dan bersedia untuk mengutipnya, namun ia gagal dicapai dalam keadaan diri sedang laju berlari.




KASIHAN Inspektor An-Nasa'i. Dia mengejar sepantas yang mungkin namun langkah manusia ketakutan lebih laju rupanya. Yun tidak dapat menahan hati lalu dia cuba membantu Inspektor Nasa'i. Aksi itu telah lama dilupakan, selepas cedera di bahagian pergelangan tangan sewaktu melakukan aksi 'The Head Stand', sebelas tahun lepas.
"Bismillahirrahmanirrahim!" Ucap Yun di dalam hati. Hampir lima meter dari kayu tersebut, Yun melompat setinggi mungkin dengan kedua belah tangan lurus ke atas. Dia memusing badan sebelum mendarat semula dengan lutut sedikit bengkok. Oh! Dugaannya tepat. Dia berjaya menggenggam kayu itu sebelum mengulangi aksi 'Flipback' beberapa kali.
"Nasa'iiiiiiiii...tunduk!"
 Jeritnya kuat. Inspektor Nasa'i akur. Walau dalam keadaan laju, dia sempat tunduk. Kemudian, sepenuh tenaga dan kudrat Yun membaling kayu itu ke arah tiga lelaki yang masih berlari. Tepat! Ia mengenai salah seorang dari mereka lalu lelaki itu tersungkur jatuh. Yun berhenti berlari. Yun berhenti bukan kerana sasarannya tepat tetapi kerana pergelangan tangannya mulai ngilu dan berdenyut-denyut.


            YUN ketawa kecil ketika Inspektor Nasa'i tak habis-habis membebel kepadanya sejak mereka keluar dari bangunan klinik pesakit luar. Tadah sahaja, apa yang susah. Sekejap lagi pasti Inspektor Nasa'i kering tekak dan penat sendiri.
"Awak ni Yun, tangan dan kaki kerja lebih cepat dari otak. Kalaulah apa-apa jadi pada awak, siapa yang kena jawab kalau bukan saya?"
"Saya sukarela, kan!"
"Awak sukarela, saya tak rela!"
Bidas Inspektor Nasa'i,tegas. Namun, Yun masih boleh ketawa. Begitulah sikap wanita yang dikenali semenjak dua tahun yang lepas. Tindakannnya sembarangan tapi yang sembarangan itulah yang sangat membantu. Kejadian seperti ini bukan kali pertama. Ia kali kedua dan kesudahan episod bantuan Yun, dia pasti mengiringi wanita itu keluar dari klinik pesakit luar.
"Yun, lain kali jangan buat macam tu lagi, ya! Nanti bertimpa-timpa masalah atas kepala saya. Nak uruskan yang tak bermoral lagi, kemudian, si kacau daun Yun lagi."
"Ha ha ha." Ketawa Yun berbunyi lagi. Inspektor Nasa'i hanya mampu membuang keluhan. Yun wanita tabah dan tidak mudah mengalah. Tafsiran itu belum terkalih sejak perkenalan pertama mereka.
"Ketawa-ketawa jugak. Apa yang jadi ni, awak jadikanlah iktibar. Saya bukan nak menakutkan tapi bimbang juga kalau ada yang berdendam dengan awak. Hasil tulisan awak bikin pasaran hitam mabuk kepayang sekarang."
Yun menjuih bibir sahaja.
"Kenapa saya pulak yang nak didendam? Bukan saya yang tangkap dia orang. Inspektor Nasa'i and the gang yang punya kerja, kan?" Usik Yun sebelum masuk ke dalam perut kereta milik pegawai polis itu, tetapi dia tidak sempat menutup pintu kereta. Beberapa kali dia menarik pintu kereta yang berat itu.
"E eh! Obes pulak ke pintu kereta ni? Bukan tadi mudah aje ke nak buka tutup?"
Bebel Yun, mencari reaksi Nasa'i di sebelah. Anehnya air muka lelaki itu! Pucat seperti berselisih dengan pontianak. Eh, barangkali memang ada pontianak di sebelahnya? Yun teguk liur. Dia menoleh ke sebelah lambat-lambat.
"Kenapa? Tak sangka?"
"Opocot!" Yun melatah spontan sambil mengurut dada. Wanita bertudung lilit itu nampak garang sekali.
"Kata sibuk, banyak kerja! Sibuk dengan perempuan ni?" Sergah wanita itu lagi sambil menunding jari hampir dengan hidungnya. Mata Yun berkedip-kedip. Biar tidak mengerti konflik apakah itu, namun dia cepat menutup hidungnya yang tinggi.
"Err...bukan, bukan! Jangan salah faham! Ini bukan macam yang sayang sangka."
            Bukan macam sayang sangka? Oh, teman wanita Nasa'i kah dia?            

"BUKAN macam yang disangka? Habis tu, ini siapa? Sayang telefon abang tadi, abang cakap abang sibuk, kan? Sayang telefon malam tadi abang tak angkat. Sayang mesej pun abang tak balas. Ini rupanya 'kerja' abang! Kalau abang rasa sayang bukan yang terbaik untuk abang, kenapa abang tak lepaskan sayang? Lebih baik kita putus saja. Hati sayang tak sakit, hati abang lebih bahagia."
Bidas wanita bertudung lilit itu, lancar. Dialognya sempurna seperti di dalam skrip drama.
Malangnya, ia salah sangka semata-mata.
"Bukan macam tu. Jangan buat keputusan terburu-buru!"
Yun tidak tahan dengan drama sebabak itu. Dia bingkas keluar dari perut kereta itu. Dia menyeluk poket lalu menyerahkan kad nama kepada teman wanita Nasa'i barangkali. Wanita itu kelihatan terpinga-pinga namun menyambut juga kad yang dihulurnya.
"Saya wartawan dari Unit Jenayah. Apa yang adik nampak salah sangka sahaja. Atas ihsan dan simpati Nasa'i, saya di bawa ke klinik. Saya tolong dia, dia tolong saya. Kami seri dan tak berhutang apa-apa lagi."
"Nasa'i. Saya balik dulu."
"Err...Yun. Awak nak balik dengan apa tu?" Tanya Nasa'i ketika melihat Yun pantas mengatur langkah di hadapan. Seolah-olah Suha tiada di antara mereka. Dia melangkah lebih hadapan, dan leka melihat derap langkah Yun dengan kening yang keruh.
"Abang!!!" Nasa'i pantas menoleh apabila dirinya diseru. Ah, dia terlupa akan Suha yang setia menunggu menagih jawapan.